Friday, June 18, 2010

Aku Merayau.






Salam hormat dan rahayu.


Pernah aku ke Manila, dan menginap salah sebuah hotel di Quezon City kerana menjalankan tugas rasmi, lalu aku mendapatkan beberapa pengalaman dan maklumat daripada beberapa penduduk tempatan. Antaranya berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosio-budaya, pendidikan, masalah sosial, dan pembangunan infrastuktur.


Aku berada di situ selama empat belas hari, dan banyak perkara yang aku jumpa dan menarik perhatian terutama masalah kemiskinan, penempatan penduduk, dan kaum minoriti yang terabai hak kemanusiaannya. Untuk mendapatkan banyak maklumat mengenai masyarakat, perlulah kita turun padang, lihat sendiri apa yang sudah dan benar berlaku diseluruh persekitaran, pergilah berjalan-jalan, bukan dipusat belibelah saja, malah dilorong-lorong, kawasan setinggan, dan kawasan yang daif dan tidak terurus pengurusannya.


Aku berjalan sendirian di kawasan setinggan yang penempatan kediamannya tidak teratur, penghuninya ada yang berniaga secara kecil-kecilan, menjadi buruh, dan bekerja apa saja untuk sesuap nasi atau roti. Kawasan itu dikenali dengan nama Kuliat, penempatan majoriti orang Islam yang tertindas oleh pemerintah Filipina. Anak-anak mereka berkeliaran tanpa diberi pendidikan yang sempurna, dan hak asasi mereka terbatas.


Pernah juga aku berjalan disebelah malam, solat di masjid yang keadaannya sangat daif, namun mereka bersatu dalam memperjuangkan hak. Aku sempat berbual dengan beberapa jemaah disitu, kebanyakan mereka meluahkan ketidakpuasan hati tentang layanan pemerintah. Aku kagum dengan imam masjid yang berkhutbah jumaat tanpa teks, melaungkan kebebasan dan hak perjuangan Islam, menasihatkan jemaah supaya bersatu padu dalam menegakkan keadilan dan kebenaran, usah bersengketa sesama sendiri, dan saling menghormati.

No comments:

Post a Comment