Friday, July 30, 2010

Memang Tugasku.





Salam hormat dan rahayu.



Apa yang dicari oleh seorang pakar bedah apabila dia menjalankan tugas membuat bedah siasat terhadap mayat yang sudah kaku dan terbujur? sudah tentu ada objektifnya, ini tergantung pada bentuk dan jenis kes itu sendiri.


Bedah haiwan mungkin tidak seberat mana ketabahannya berbanding dengan membedah siasat ke atas mayat manusia. Ini mungkin satu andaian saja, ada kemungkinan untuk menjadi seorang pakar bedah sama ada atas tujuan untuk menyembuh sesuatu penyakit mahupun untuk mendapatkan bukti dalam perbicaraan mahkamah, ianya memerlukan kepakaran yang begitu khusus dan ada pengiktirafan terhadap bidang tugasnya.






Banyak kes-kes pembunuhan dan kemalangan sama ada kes yang melibatkan rakyat biasa mahupun kes berprofil tinggi memerlukan kepakaran pakar bidang untuk menentukan kepastian bukti atau pemeriksaan DNA yang dapat membongkar rahsia-rahsia yang masih menjadi misteri.

Monday, July 26, 2010

Bertaut kaca, retak terhasil.










Salam hormat dan rahayu.



Bak kata pepatah 'Bagai Anjing menyalak bukit', keletihan namun bukit sedikit pun tidak terjejas. Apakah ini boleh diumpamakan dalam kehidupan masyarakat yang hidupnya penuh dengan pelbagai dan berbagai dugaan cabaran masakini. Manusia akan selesa hidup, manusia akan capai matlamatnya jika berusaha dan bukan hanya setakat menunggu harapan saja.



Apakah negara-negara kecil dapat menggugat dan menguasai negara kuasa besar? Amerika umpamanya, merupakan kuasa besar dunia yang ingin menakluk dan memonopoli dunia ini sehingga negara-negara besar yang lain saling mencabar kewibawaan masing-masing. Mereka bukan saja berperang menggunakan ketenteraan yang melibatkan kemusnahan harta benda malah nyawa yang tidak berdosa turut terkorban.





Dewasa ini peperangan ekonomi, perang teknologi sudah menjadi kebiasaan dan yang lebih risiko ialah masing-masing membuat persediaan untuk perang nuklear, yang berkemungkinan tinggi perang dunia ketiga akan berlaku. Ini cuma andaian, tetapi tidak mustahil akan berlaku sekiranya manusia di negara berkuasa besar saling meninggi diri, angkuh untuk menjadi raja dunia yang menguasai semua kekayaan di bumi ini.



Bersengketa sesama sendiri amat mudah, tetapi untuk kembali persahabatan seperti asal amatlah payah, ianya memerlukan keikhlasan, dan memakan masa untuk harmoni. Luka dihati sukar dilihat, luka dibadan meninggalkan calar, malah sukar dilenyapkan, bak kata pepatah 'gelas kaca terhempas hancur berderai, walau bertaut semula namun retak tetap kelihatan'.

Sunday, July 4, 2010

Sendirian.




Salam hormat dan rahayu.



Aku terbaca satu ungkapan berbahasa inggeris berbunyi "Human interest should be limited to concerns of the presence life", membawa maksud bahawa minat manusia mestilah dibataskan kepada urusan-urusan kehidupan yang dihayati sekarang (duniawi).


Ungkapan-ungkapan ini mengingatkan aku kepada pejuang-pejuang "sekularisme" yang menjadi pelopor bagi golongan pemimpin-pemimpin dan nabi palsu yang antaranya, Karl Marx, Stalin, Hitler, Lenin, dan Mussolini. Kesemuanya ini merupakan pemimpin yang mengakibatkan keharmonian dan keamanan manusia tunggang-langgang. Malahan ketua agama atau pendita turut sama terperangkap dengan tindakan mereka.




Aku juga membaca artikel tentang pemimpin-pemimpin yang berjaya menguasai dunia. Bila aku sendirian aku bermonolog tentang ketuhanan dan kemanusiaan. Aku sering mencari bahan ilmiah, dan sebarang maklumat berkaitan dengan kemanusiaan. Sekurang-kurangnya aku dapat berkongsi pengalaman dengan orang lain.

Saturday, July 3, 2010

cari pantai atau santai.



Salam hormat dan rahayu.



Langkawi adalah sebuah pulau lagenda yang termasyhur dengan cerita pengorbanan seorang wanita mempertahankan maruahnya bernama Mashuri. Cerita lagenda ini telah tersohor dan kini merupakan sebuah tempat peranginan bagi kebanyakan pelancong dari luar negara.


Aku pernah menginap di salah sebuah hotel di Pekan Kuah, Langkawi kerana tugas rasmi dan menjalankan beberapa penyelidikan. Kini Pekan Kuah sudah membangun dan indah dengan perkembangan sosio-budayanya, aku bertegur sapa dengan penduduk tempatan dan juga beberapa pelancong asing untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas mereka mengenai Pulau Langkawi ini.


Secara umum, mereka kagum dengan pemesatan pembangunan di Langkawi. Banyak tempat di Langkawi boleh dilawati kerana keindahan pantainya. Aku ingin berkongsi maklumat dan pengalaman dengan pembaca blog ini, bahawa aku pernah menjalani latihan survivor di anak Datai yang ketika itu merupakan hutan dara yang penuh dengan risiko.


Meredah hutan, jejak rimba, untuk menuju ke destinasi memerlukan pelbagai kemahiran antaranya, membaca peta, kompas, dan menggunakan pancaindera yang keenam. Usah panik jika sesat di hutan atau hanyut diperairan dalam, adakalanya pengalaman membantu menenang fikiran.

Kini Datai sudah membangun, tiada lagi hutan dara, tiada lagi aktiviti jejak rimba, tempat tersebut telah dibina hotel peranginan. Ramai pelancong menginap di situ untuk bersantai dan mendapatkan ketenangan.