Friday, June 18, 2010

Aku Merayau.






Salam hormat dan rahayu.


Pernah aku ke Manila, dan menginap salah sebuah hotel di Quezon City kerana menjalankan tugas rasmi, lalu aku mendapatkan beberapa pengalaman dan maklumat daripada beberapa penduduk tempatan. Antaranya berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosio-budaya, pendidikan, masalah sosial, dan pembangunan infrastuktur.


Aku berada di situ selama empat belas hari, dan banyak perkara yang aku jumpa dan menarik perhatian terutama masalah kemiskinan, penempatan penduduk, dan kaum minoriti yang terabai hak kemanusiaannya. Untuk mendapatkan banyak maklumat mengenai masyarakat, perlulah kita turun padang, lihat sendiri apa yang sudah dan benar berlaku diseluruh persekitaran, pergilah berjalan-jalan, bukan dipusat belibelah saja, malah dilorong-lorong, kawasan setinggan, dan kawasan yang daif dan tidak terurus pengurusannya.


Aku berjalan sendirian di kawasan setinggan yang penempatan kediamannya tidak teratur, penghuninya ada yang berniaga secara kecil-kecilan, menjadi buruh, dan bekerja apa saja untuk sesuap nasi atau roti. Kawasan itu dikenali dengan nama Kuliat, penempatan majoriti orang Islam yang tertindas oleh pemerintah Filipina. Anak-anak mereka berkeliaran tanpa diberi pendidikan yang sempurna, dan hak asasi mereka terbatas.


Pernah juga aku berjalan disebelah malam, solat di masjid yang keadaannya sangat daif, namun mereka bersatu dalam memperjuangkan hak. Aku sempat berbual dengan beberapa jemaah disitu, kebanyakan mereka meluahkan ketidakpuasan hati tentang layanan pemerintah. Aku kagum dengan imam masjid yang berkhutbah jumaat tanpa teks, melaungkan kebebasan dan hak perjuangan Islam, menasihatkan jemaah supaya bersatu padu dalam menegakkan keadilan dan kebenaran, usah bersengketa sesama sendiri, dan saling menghormati.

Sunday, June 6, 2010

Sate Cobra




Salam hormat dan rahayu.


Ada pepatah orang tua mengatakan lain padang lain belalangnya, lain orang lain pandangannya. Justeru, pengalaman antara satu sama lain pasti berbeda dan sudah tentu ada keunikan masing-masing. Aku ingin berkongsi maklumat dan pengalaman melalui penulisan ini, yang elok dan terbagus itu boleh dijadikan pedoman begitu juga sebaliknya.




Seringkali aku ke Indonesia, antaranya ke Jakarta, Bandung, Bogor, Jogjakarta, Ceribon, dan ke Sumatera. Apa yang aku cari disitu, cuma pengalaman hidup, berkongsi idea dan bertukar fikiran dengan penduduk di situ. Status ekonomi penduduk, ada yang sangat kaya, sederhana, dan ada yang terlalu daif serta miskin. Mereka berjuang dengan apa saja untuk terus hidup demi menanggung keperluan keluarga.


Ketika aku bersendirian di Kota Jakarta Pusat, sekembalinya aku dari Jakarta Selatan, aku sempat berbual dengan anak muda yang mencari sesuap nasi dengan menjual ular cobra hidup sama ada daging ular itu dipotong dijadikan sate, mahupun darahnya dihirup untuk dijadikan ubat. Dagangan anak muda itu mendapat sambutan oleh penduduk tempatan dan para pelancong.



Daging atau sate ular cobra enak dimakan menurut pelanggan tetapnya, dan dipercayai serta diyakini ampuh mengubati penyakit antaranya, athma, ghout/rheumatism, dan meningkatkan imunisasi. Apa pun ikhtiar, jika diyakini pasti ia akan terbukti keberkesanannya.

Tuesday, June 1, 2010

Usah Berdiri, Elok Lagi Berjalan.



Salam Hormat dan rahayu.


Pengisian rohani dalam roh dan jasad setiap individu amatlah penting, justeru apa jua bangsa dan pegangan agama, apabila memiliki pengisisan rohani, sudah pasti akidah, iman dan jati diri tidak goyang atau terumbang ambing. Kesemuanya ini perlu ada amalan dan disiplinnya tertentu untuk dipatuhi supaya apa yang dikehendaki menjadi kenyataan.





Apabila dunia bergolak, manusia sering berkonflik, bumi akan musnah, mayat bergelimpangan. Sebagai contoh lihat di negara kita suatu ketika dulu, pahlawan terbilang antaranya Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut, dalam usaha menentang dan menumpas penjajahan British, kegigihan dan keberanian mereka amat dikagumi. Mereka berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Amalan kerohanian dan kebatinan mereka amat tinggi sekali. Berjuang terus berjuang tanpa rasa takut untuk membela rakyat walaupun nyawa tergadai.


Dewasa kini manusia bijak pandai buat apa saja demi kepentingan diri, sanggup berbunuhan kerana harta, pangkat, dan kuasa. Jiwa suci tidak ada lagi, jiwa kental dan semangat juang sudah luntur, apatah lagi dikaburi dengan janji manis untuk menguasai dunia ini. Apakah anak kecil perlu dibelai dengan ajaran rohaniah yang benar supaya roh mereka penuh dengan ilmu kerohanian dan kebatinan? Bagaimana caranya, nah, ini yang menjadi persoalannya.


Anak-anak jika diajar apa jua ilmu, pasti dapat menguasainya kerana mudah dilentur. Tak kira sama ada mereka belajar di pesantren, di sekolah kerajaan, mahupun di Madrasah, mereka perlu dididik, berdisiplin agar mereka menjadi orang yang berguna dihari muka kelak. Ilmu fizikal, ilmu metafizik, dan kerohanian perlu diberi kepada mereka supaya sentiasa berwaspada dan berani membuat keputusan yang bijaksana sekiranya berhadapan dengan sebarang masalah.


Kata orang lama, hendaklah berjaga daripada tidur, usah baring, elok duduk, daripada duduk elok lagi berdiri, daripada berdiri bagus berjalan, berjalan disini bermaksud hendaklah kita mengembara, kerana jauh dan luas pandangan, banyak maklumat akan diperolehi.