Monday, August 30, 2010

Aku Mahu Maju.








Salam hormat dan rahayu.


Pernah aku ke perkampungan orang asli jauh di pedalaman meninjau apa yang sedang berlaku di sana. Tidak banyak perubahan fizikal dan kemajuan di kampung tersebut walaupun negara kita kini sudah merdeka selama 53 tahun. Minda mereka perlu dimerdekakan untuk terus maju.




rumah orang asli


Kerajaan telah berusaha menaik taraf dan memberi perhatian serta mengambil tindakan sewajarnya atas pembangunan di beberapa kawasan pedalaman, antaranya pembinaan sekolah, penempatan semula, menyediakan kemudahan asas, dan meningkatkan pendidikan anak-anak mereka.



Pengorbanan guru dalam mendidik anak-anak di kawasan pedalaman amatlah dihargai oleh kerajaan. Mereka sanggup berkorban demi membangunkan anak bangsa dan celik akal anak peribumi ini. Kesedaran ibu bapa terhadap betapa pentingnya pendidikan untuk anak-anak mereka juga merupakan salah satu faktor memotivasi anak mereka ke sekolah.





perjalanan ke perkampungan orang asli di pedalaman.


Masih terdapat anak-anak mereka yang tidak dapat mengurus diri dengan baik dan sempurna. Mereka ini perlu diberi perhatian serius agar mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan. Kehidupan mereka perlu dimerdekakan daripada kemunduran dan kemiskinan pelajaran. Pendidikan atau pelajaran dapat meningkatkan taraf hidup seseorang jika ilmu itu dimanfaatkan ke jalan kebaikan.

Saturday, August 21, 2010

Membisu Seribu Bahasa



Salam hormat dan rahayu.


Kalau 'Jeepney' merupakan pengangkutan awam di bandar Manila, Tut-tut pula di kebanyakan bandar di Thailand, maka di Vietnam dan Mymmar, beca adalah pengangkutan yang sering digunakan oleh orang awam selain teksi dan bas.




Aku ingin menceritakan pengalamanku berada di sebuah perkampungan yang terbiar di tengah bandar Quezon bernama Kuliat yang sesak didiami oleh penduduk yang beragama Islam. Aku ke situ bersama seorang rakan yang juga rakyat Malaysia untuk meninjau dan melihat keadaan kehidupan masyarakat Islam di Kuliat.


Kuliat merupakan kawasan penempatan kecil kaum Islam yang terbiar dan terpinggir dari arus pembangunan bandar Quezon, Filipina. Aku dan rakan menuju ke Kuliat menaiki 'jeepney', sebaik tiba di bahu jalan simpang masuk untuk ke Kuliat, kami berjalan kaki dan menyusur di kawasan yang sempit dan penuh sesak dengan kedudukan tempat kediaman yang tunggang-langgang. Hari semakin gelap, kami solat maghrib di masjid yang lusuh tanpa dinding bagaikan musnah dibedil kereta kebal.

Aku dan rakan telah berjanji akan bertemu di gerai sebaik saja solat maghrib selesai. Malangnya, hampir sejam aku menunggu di gerai tersebut, namun rakan senegara tidak juga kunjung tiba. Aku mulai risau dan mencarinya di sekitar kawasan masjid dan penempatan mereka. Aku bertanya sana sini ramai penduduk di situ namun gagal, aku risau akan keselamatannya.


Aku mengambil keputusan untuk pulang saja dan bercadang untuk membuat laporan polis, maklumlah di negara orang, macam-macam boleh berlaku. Aku berjalan kaki menuju ke tempat kediaman yang jaraknya 8 kilometer, sepanjang laluan aku memikirkan keselamatan rakan.


Sebaik saja aku tiba di tempat penginapanku, aku terserempak dengan rakan tersebut yang sedang makan dengan lahapnya, aku menghampirinya untuk mendapatkan jawapan mengapa beliau mungkir dan gagal menepati janji. Hasilnya dia membisu seribu bahasa, dan dari air mukanya aku lihat betapa kesalnya tindakan yang sebegitu rupa.