Sunday, October 31, 2010

Derasnya Arus...




Salam hormat dan rahayu.


Bencana alam berlaku di mana-mana dan perlu dihadapi dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran. Sifat semulajadi yang ada pada manusia akan bertindak ke atas sesuatu apabila dirinya akan terasa terancam. Justeru tindakan yang diambil untuk mendapatkan keselamatan diri perlulah bijaksana supaya tidak ada yang tercedera atau kerugian.




Letusan gunung berapi, tsunami, banji besar, kebakaran, dan tanah runtuh merupakan antara bencana yang perlu dihadapi bersama oleh penduduk setempat dimana kejadian itu terjadi dengan penuh teliti. sewaktu ini, beberapa keadaan tidak dapat dikawal seperti kemalangan jiwa, penyakit, dan kebuluran serta emosi yang tidak stabil.



Sudah pasti negara yang mengalami kecelakaan dan bencana kerugian besar berbilion dolar malah mungkin lebih daripada itu . Jika tidak ada bantuan dari negara negara lain, rakyat akan mati kebuluran atau dijangkiti penyakit kerana tiada kemudahan asas, dan bekalan makanan serta air yang bersih.

Kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan baik dari segi fizikal mahupun minda supaya tidak putus asa dan menyalahi kuasa Tuhan.

Saturday, October 9, 2010

Hidup Miskin - kekurangan zat makanan.




Salam hormat dan rahayu.


Ibu sanggup tidak makan, ayah sanggup berkorban apa saja asalkan anak tidak kebuluran. Anak umpama madu dan pewaris jenerasi akan datang. Anaklah madu, anaklah racun dalam hidup ibubapa ini, jika anak terbiar dan tidak berpelajaran sudah pasti mudah tercebur ke kancah gejala sosial yang tidak sihat.


Anak sejak kecil perlu dipelihara dan diberi pelajaran yang secukupnya. Ibubapalah yang mencorak warna warni masa depan anak, pabila anak sudah dewasa, maka carilah jalan kehidupan mereka sendiri. Keluarga yang melarat sudah tentu tidak dapat menjamin kehidupan yang sempurna untuk anak-anak mereka. Bagi negara yang mundur, masalah yang perlu dihadapi ialah antaranya, ekonomi, pendidikan, kemiskinan, dan kebuluran.

anak kekurangan zat kerana kemiskinan

Kebuluran berlaku di negara yang terlalu miskin dan mengalami konflik politik yang amat sangat sehingga musnah lebur struktur pentadbiran dan struktur pembangunan ekonomi. Yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak, orang tua, dan rakyat yang miskin sehingga untuk mendapatkan sesuap nasi pun payah diusahakan.


Medis massa setiap hari memaparkan kebuluran berlaku di kebanyakan negara miskin dan negara yang bersengketa, berperang sesama sendiri kerana merebut kuasa politik, akibatnya keamanan negara tidak stabil. Justeru setiap pemimpin negara perlu prihatin keperluan rakyat agar mereka tidak menjadi mangsa penindasan dan kebuluran.




Kebuluran boleh berlaku di mana saja apabila rakyat tidak mendapat bekalan makanan yang mencukupi dan pentandiran negara mulai goyah. Anak yang kebuluran dan tidak dapat bekalan makanan yang berzat boleh mengakibatkan kesihatan mereka terjejas.

Friday, October 8, 2010

Sayangku pada anak-anak.





Salam hormat dan rahayu.


Kasih ibu pada anak, adalah kasih sepanjang hayat, manakala kasih bapa pada anak, adalah kasih tidak terhingga walaupun anak sudah dewasa dan mengikut jalan sendiri kerana berkeluarga. Ada pepatah menyatakan bahawa, anak mendengar kata, suami isteri seia sekata, dan adik beradik kasih sepanjang masa, kesemuanya ini terjalin apabila saling kasih mengasihi.



Rasa kasih itu terserlah dalam kalangan keluarga apabila sesuatu bencana berlaku. Sebagai contoh, peristiwa tsunami, gempa bumi, kebakaran, dan banjir besar yang merosakkan harta serta melibatkan ramai jiwa terkorban. Banyak negara mengalami banjir besar yang mengakibatkan kerosakan dan kerugian harta benda, bangunan musnah, dan rakyat kebuluran serta terdedh dengan berbagai penyakit.




Bila berlakunya bencana seperti ini, ramai jiwa musnah, ibu kehilangan anak, isteri kehilangan suami, dan tangisan bertalu-talu kedengaran di sana sini sehingga kekeringan air mata. Yang pergi tak akan kembali lagi setelah bencana mengaut jiwa, justeru redha dan terima suratan takdir. Setiap keluarga hanya mampu pasrah kepada Tuhan dan perlu bersedia pada hari mendatang. Lihat apa yang sudah berlaku di Cina, Pakistan, Filipina dan beberapa negara Eropah yang mengalami bencana alam yang amat serius dan mengalami kerugian besar.

Thursday, September 16, 2010

Hidup ini tidak dapat diramal.



Salam hormat dan rahayu.


Seluruh rakyat agak kaget dengan peristiwa pembunuhan Datuk Sosilowati Lawiya bersama tiga rakannya yang lain. Pembunuhan itu sangat kejam dan tragis. Ia sungguh menyayat hati sesiapa yang mengetahuinya. Mangsa telah dipukul, dibunuh, disembelih dan dibakar mayatnya lalu abu mayat mangsa ditabur dimerata sungai.



cari bahan bukti pembunuhan


Motif pembunuhan dipercayai berkaitan urusniaga wang dan pemilikan tanah yang melibatkan wang berjuta. Suspek pembunuhan ini telah dikenal pasti identitinya. Suspek adalah seorang peguam yang juga bergelar Datuk bersama adiknya dan beberapa pekerja telah ditahan oleh polis untuk membantu sisatan kes pembunuhan.


Lokasi pembunuhan juga dikenal pasti iaitu disekitar sebuah ladang kepunyaan suspek. Ladang tersebut mempunyai kediaman eksklusif dan mempunyai kolam renang serta dikawal oleh pekerja, termasuk 16 anjing roittweler bertujuan menakutkan mangsa pembunuhan.


Kejadian pembunuhan ini sudah tentu ada hikmahnya, banyak maklumat terbongkar dan menjadi tanda tanya ramai orang. Pasti ada petunjuknya, orang zalim yang mementingkan diri hingga sanggup membunuh, penghujung hidupnya akan musnah dan lebur.

Sunday, September 5, 2010

Sejauh Mana Manusia Di Duga?






Salam hormat dan rahayu.


Sejak akhir-akhir ini dunia sering mengalami bencana alam, antaranya gempa bumi di New Zealand, letusan gunung berapi di Indonesia, banjir besar di Pakistan, dan ada beberapa negara menghadapi kemarau panjang serta kebakaran sana-sini.




Bencana alam yang berlaku di beberapa tempat di dunia ini bukan saja menghancurkan bumi malah ditafsirkan mengalami kerugian berbillion ringgit dan yang paling menyedihkan ialah ramai jiwa yang terkorban. Selain itu, pelbagai masalah lain yang timbul antaranya kekurangan makanan, bekalan elektrik terputus, ketandusan air bersih yang selamat untuk diminum, dan penyakit seperti taun merebak di sana-sini.






Apakah kesemuanya ini ada hikmahnya? hanya Ilahi yang Maha Mengetahui. Sesama manusia digesa membantu mereka yang lemah dan mengalami kepayahan hidup akibat bencana alam. Justeru, sifat kemanusiaan yang luhur, banyak negara termasuk negara kita membantu mereka yang mengalami kesengsaraan hidup.


Manusia diberi dugaan yang amat besar sekali oleh Tuhan melalui beberapa peristiwa bencana alam. Dugaan ini menguji kesabaran, akidah, dan minda setiap manusia di muka bumi ini. Apakah manusia sering mencabar kekuasaan Ilahi? atau mencipta pelbagai teknologi sehingga alam ini semakin tercemar dan tidak stabil lagi. Apa pun negara kuasa besar perlu memikirkan keselamatan dan kesejahteraan manusia sejagat di alam yang luas ini.

Monday, August 30, 2010

Aku Mahu Maju.








Salam hormat dan rahayu.


Pernah aku ke perkampungan orang asli jauh di pedalaman meninjau apa yang sedang berlaku di sana. Tidak banyak perubahan fizikal dan kemajuan di kampung tersebut walaupun negara kita kini sudah merdeka selama 53 tahun. Minda mereka perlu dimerdekakan untuk terus maju.




rumah orang asli


Kerajaan telah berusaha menaik taraf dan memberi perhatian serta mengambil tindakan sewajarnya atas pembangunan di beberapa kawasan pedalaman, antaranya pembinaan sekolah, penempatan semula, menyediakan kemudahan asas, dan meningkatkan pendidikan anak-anak mereka.



Pengorbanan guru dalam mendidik anak-anak di kawasan pedalaman amatlah dihargai oleh kerajaan. Mereka sanggup berkorban demi membangunkan anak bangsa dan celik akal anak peribumi ini. Kesedaran ibu bapa terhadap betapa pentingnya pendidikan untuk anak-anak mereka juga merupakan salah satu faktor memotivasi anak mereka ke sekolah.





perjalanan ke perkampungan orang asli di pedalaman.


Masih terdapat anak-anak mereka yang tidak dapat mengurus diri dengan baik dan sempurna. Mereka ini perlu diberi perhatian serius agar mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan. Kehidupan mereka perlu dimerdekakan daripada kemunduran dan kemiskinan pelajaran. Pendidikan atau pelajaran dapat meningkatkan taraf hidup seseorang jika ilmu itu dimanfaatkan ke jalan kebaikan.

Saturday, August 21, 2010

Membisu Seribu Bahasa



Salam hormat dan rahayu.


Kalau 'Jeepney' merupakan pengangkutan awam di bandar Manila, Tut-tut pula di kebanyakan bandar di Thailand, maka di Vietnam dan Mymmar, beca adalah pengangkutan yang sering digunakan oleh orang awam selain teksi dan bas.




Aku ingin menceritakan pengalamanku berada di sebuah perkampungan yang terbiar di tengah bandar Quezon bernama Kuliat yang sesak didiami oleh penduduk yang beragama Islam. Aku ke situ bersama seorang rakan yang juga rakyat Malaysia untuk meninjau dan melihat keadaan kehidupan masyarakat Islam di Kuliat.


Kuliat merupakan kawasan penempatan kecil kaum Islam yang terbiar dan terpinggir dari arus pembangunan bandar Quezon, Filipina. Aku dan rakan menuju ke Kuliat menaiki 'jeepney', sebaik tiba di bahu jalan simpang masuk untuk ke Kuliat, kami berjalan kaki dan menyusur di kawasan yang sempit dan penuh sesak dengan kedudukan tempat kediaman yang tunggang-langgang. Hari semakin gelap, kami solat maghrib di masjid yang lusuh tanpa dinding bagaikan musnah dibedil kereta kebal.

Aku dan rakan telah berjanji akan bertemu di gerai sebaik saja solat maghrib selesai. Malangnya, hampir sejam aku menunggu di gerai tersebut, namun rakan senegara tidak juga kunjung tiba. Aku mulai risau dan mencarinya di sekitar kawasan masjid dan penempatan mereka. Aku bertanya sana sini ramai penduduk di situ namun gagal, aku risau akan keselamatannya.


Aku mengambil keputusan untuk pulang saja dan bercadang untuk membuat laporan polis, maklumlah di negara orang, macam-macam boleh berlaku. Aku berjalan kaki menuju ke tempat kediaman yang jaraknya 8 kilometer, sepanjang laluan aku memikirkan keselamatan rakan.


Sebaik saja aku tiba di tempat penginapanku, aku terserempak dengan rakan tersebut yang sedang makan dengan lahapnya, aku menghampirinya untuk mendapatkan jawapan mengapa beliau mungkir dan gagal menepati janji. Hasilnya dia membisu seribu bahasa, dan dari air mukanya aku lihat betapa kesalnya tindakan yang sebegitu rupa.

Friday, July 30, 2010

Memang Tugasku.





Salam hormat dan rahayu.



Apa yang dicari oleh seorang pakar bedah apabila dia menjalankan tugas membuat bedah siasat terhadap mayat yang sudah kaku dan terbujur? sudah tentu ada objektifnya, ini tergantung pada bentuk dan jenis kes itu sendiri.


Bedah haiwan mungkin tidak seberat mana ketabahannya berbanding dengan membedah siasat ke atas mayat manusia. Ini mungkin satu andaian saja, ada kemungkinan untuk menjadi seorang pakar bedah sama ada atas tujuan untuk menyembuh sesuatu penyakit mahupun untuk mendapatkan bukti dalam perbicaraan mahkamah, ianya memerlukan kepakaran yang begitu khusus dan ada pengiktirafan terhadap bidang tugasnya.






Banyak kes-kes pembunuhan dan kemalangan sama ada kes yang melibatkan rakyat biasa mahupun kes berprofil tinggi memerlukan kepakaran pakar bidang untuk menentukan kepastian bukti atau pemeriksaan DNA yang dapat membongkar rahsia-rahsia yang masih menjadi misteri.

Monday, July 26, 2010

Bertaut kaca, retak terhasil.










Salam hormat dan rahayu.



Bak kata pepatah 'Bagai Anjing menyalak bukit', keletihan namun bukit sedikit pun tidak terjejas. Apakah ini boleh diumpamakan dalam kehidupan masyarakat yang hidupnya penuh dengan pelbagai dan berbagai dugaan cabaran masakini. Manusia akan selesa hidup, manusia akan capai matlamatnya jika berusaha dan bukan hanya setakat menunggu harapan saja.



Apakah negara-negara kecil dapat menggugat dan menguasai negara kuasa besar? Amerika umpamanya, merupakan kuasa besar dunia yang ingin menakluk dan memonopoli dunia ini sehingga negara-negara besar yang lain saling mencabar kewibawaan masing-masing. Mereka bukan saja berperang menggunakan ketenteraan yang melibatkan kemusnahan harta benda malah nyawa yang tidak berdosa turut terkorban.





Dewasa ini peperangan ekonomi, perang teknologi sudah menjadi kebiasaan dan yang lebih risiko ialah masing-masing membuat persediaan untuk perang nuklear, yang berkemungkinan tinggi perang dunia ketiga akan berlaku. Ini cuma andaian, tetapi tidak mustahil akan berlaku sekiranya manusia di negara berkuasa besar saling meninggi diri, angkuh untuk menjadi raja dunia yang menguasai semua kekayaan di bumi ini.



Bersengketa sesama sendiri amat mudah, tetapi untuk kembali persahabatan seperti asal amatlah payah, ianya memerlukan keikhlasan, dan memakan masa untuk harmoni. Luka dihati sukar dilihat, luka dibadan meninggalkan calar, malah sukar dilenyapkan, bak kata pepatah 'gelas kaca terhempas hancur berderai, walau bertaut semula namun retak tetap kelihatan'.

Sunday, July 4, 2010

Sendirian.




Salam hormat dan rahayu.



Aku terbaca satu ungkapan berbahasa inggeris berbunyi "Human interest should be limited to concerns of the presence life", membawa maksud bahawa minat manusia mestilah dibataskan kepada urusan-urusan kehidupan yang dihayati sekarang (duniawi).


Ungkapan-ungkapan ini mengingatkan aku kepada pejuang-pejuang "sekularisme" yang menjadi pelopor bagi golongan pemimpin-pemimpin dan nabi palsu yang antaranya, Karl Marx, Stalin, Hitler, Lenin, dan Mussolini. Kesemuanya ini merupakan pemimpin yang mengakibatkan keharmonian dan keamanan manusia tunggang-langgang. Malahan ketua agama atau pendita turut sama terperangkap dengan tindakan mereka.




Aku juga membaca artikel tentang pemimpin-pemimpin yang berjaya menguasai dunia. Bila aku sendirian aku bermonolog tentang ketuhanan dan kemanusiaan. Aku sering mencari bahan ilmiah, dan sebarang maklumat berkaitan dengan kemanusiaan. Sekurang-kurangnya aku dapat berkongsi pengalaman dengan orang lain.

Saturday, July 3, 2010

cari pantai atau santai.



Salam hormat dan rahayu.



Langkawi adalah sebuah pulau lagenda yang termasyhur dengan cerita pengorbanan seorang wanita mempertahankan maruahnya bernama Mashuri. Cerita lagenda ini telah tersohor dan kini merupakan sebuah tempat peranginan bagi kebanyakan pelancong dari luar negara.


Aku pernah menginap di salah sebuah hotel di Pekan Kuah, Langkawi kerana tugas rasmi dan menjalankan beberapa penyelidikan. Kini Pekan Kuah sudah membangun dan indah dengan perkembangan sosio-budayanya, aku bertegur sapa dengan penduduk tempatan dan juga beberapa pelancong asing untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas mereka mengenai Pulau Langkawi ini.


Secara umum, mereka kagum dengan pemesatan pembangunan di Langkawi. Banyak tempat di Langkawi boleh dilawati kerana keindahan pantainya. Aku ingin berkongsi maklumat dan pengalaman dengan pembaca blog ini, bahawa aku pernah menjalani latihan survivor di anak Datai yang ketika itu merupakan hutan dara yang penuh dengan risiko.


Meredah hutan, jejak rimba, untuk menuju ke destinasi memerlukan pelbagai kemahiran antaranya, membaca peta, kompas, dan menggunakan pancaindera yang keenam. Usah panik jika sesat di hutan atau hanyut diperairan dalam, adakalanya pengalaman membantu menenang fikiran.

Kini Datai sudah membangun, tiada lagi hutan dara, tiada lagi aktiviti jejak rimba, tempat tersebut telah dibina hotel peranginan. Ramai pelancong menginap di situ untuk bersantai dan mendapatkan ketenangan.

Friday, June 18, 2010

Aku Merayau.






Salam hormat dan rahayu.


Pernah aku ke Manila, dan menginap salah sebuah hotel di Quezon City kerana menjalankan tugas rasmi, lalu aku mendapatkan beberapa pengalaman dan maklumat daripada beberapa penduduk tempatan. Antaranya berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosio-budaya, pendidikan, masalah sosial, dan pembangunan infrastuktur.


Aku berada di situ selama empat belas hari, dan banyak perkara yang aku jumpa dan menarik perhatian terutama masalah kemiskinan, penempatan penduduk, dan kaum minoriti yang terabai hak kemanusiaannya. Untuk mendapatkan banyak maklumat mengenai masyarakat, perlulah kita turun padang, lihat sendiri apa yang sudah dan benar berlaku diseluruh persekitaran, pergilah berjalan-jalan, bukan dipusat belibelah saja, malah dilorong-lorong, kawasan setinggan, dan kawasan yang daif dan tidak terurus pengurusannya.


Aku berjalan sendirian di kawasan setinggan yang penempatan kediamannya tidak teratur, penghuninya ada yang berniaga secara kecil-kecilan, menjadi buruh, dan bekerja apa saja untuk sesuap nasi atau roti. Kawasan itu dikenali dengan nama Kuliat, penempatan majoriti orang Islam yang tertindas oleh pemerintah Filipina. Anak-anak mereka berkeliaran tanpa diberi pendidikan yang sempurna, dan hak asasi mereka terbatas.


Pernah juga aku berjalan disebelah malam, solat di masjid yang keadaannya sangat daif, namun mereka bersatu dalam memperjuangkan hak. Aku sempat berbual dengan beberapa jemaah disitu, kebanyakan mereka meluahkan ketidakpuasan hati tentang layanan pemerintah. Aku kagum dengan imam masjid yang berkhutbah jumaat tanpa teks, melaungkan kebebasan dan hak perjuangan Islam, menasihatkan jemaah supaya bersatu padu dalam menegakkan keadilan dan kebenaran, usah bersengketa sesama sendiri, dan saling menghormati.

Sunday, June 6, 2010

Sate Cobra




Salam hormat dan rahayu.


Ada pepatah orang tua mengatakan lain padang lain belalangnya, lain orang lain pandangannya. Justeru, pengalaman antara satu sama lain pasti berbeda dan sudah tentu ada keunikan masing-masing. Aku ingin berkongsi maklumat dan pengalaman melalui penulisan ini, yang elok dan terbagus itu boleh dijadikan pedoman begitu juga sebaliknya.




Seringkali aku ke Indonesia, antaranya ke Jakarta, Bandung, Bogor, Jogjakarta, Ceribon, dan ke Sumatera. Apa yang aku cari disitu, cuma pengalaman hidup, berkongsi idea dan bertukar fikiran dengan penduduk di situ. Status ekonomi penduduk, ada yang sangat kaya, sederhana, dan ada yang terlalu daif serta miskin. Mereka berjuang dengan apa saja untuk terus hidup demi menanggung keperluan keluarga.


Ketika aku bersendirian di Kota Jakarta Pusat, sekembalinya aku dari Jakarta Selatan, aku sempat berbual dengan anak muda yang mencari sesuap nasi dengan menjual ular cobra hidup sama ada daging ular itu dipotong dijadikan sate, mahupun darahnya dihirup untuk dijadikan ubat. Dagangan anak muda itu mendapat sambutan oleh penduduk tempatan dan para pelancong.



Daging atau sate ular cobra enak dimakan menurut pelanggan tetapnya, dan dipercayai serta diyakini ampuh mengubati penyakit antaranya, athma, ghout/rheumatism, dan meningkatkan imunisasi. Apa pun ikhtiar, jika diyakini pasti ia akan terbukti keberkesanannya.

Tuesday, June 1, 2010

Usah Berdiri, Elok Lagi Berjalan.



Salam Hormat dan rahayu.


Pengisian rohani dalam roh dan jasad setiap individu amatlah penting, justeru apa jua bangsa dan pegangan agama, apabila memiliki pengisisan rohani, sudah pasti akidah, iman dan jati diri tidak goyang atau terumbang ambing. Kesemuanya ini perlu ada amalan dan disiplinnya tertentu untuk dipatuhi supaya apa yang dikehendaki menjadi kenyataan.





Apabila dunia bergolak, manusia sering berkonflik, bumi akan musnah, mayat bergelimpangan. Sebagai contoh lihat di negara kita suatu ketika dulu, pahlawan terbilang antaranya Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut, dalam usaha menentang dan menumpas penjajahan British, kegigihan dan keberanian mereka amat dikagumi. Mereka berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Amalan kerohanian dan kebatinan mereka amat tinggi sekali. Berjuang terus berjuang tanpa rasa takut untuk membela rakyat walaupun nyawa tergadai.


Dewasa kini manusia bijak pandai buat apa saja demi kepentingan diri, sanggup berbunuhan kerana harta, pangkat, dan kuasa. Jiwa suci tidak ada lagi, jiwa kental dan semangat juang sudah luntur, apatah lagi dikaburi dengan janji manis untuk menguasai dunia ini. Apakah anak kecil perlu dibelai dengan ajaran rohaniah yang benar supaya roh mereka penuh dengan ilmu kerohanian dan kebatinan? Bagaimana caranya, nah, ini yang menjadi persoalannya.


Anak-anak jika diajar apa jua ilmu, pasti dapat menguasainya kerana mudah dilentur. Tak kira sama ada mereka belajar di pesantren, di sekolah kerajaan, mahupun di Madrasah, mereka perlu dididik, berdisiplin agar mereka menjadi orang yang berguna dihari muka kelak. Ilmu fizikal, ilmu metafizik, dan kerohanian perlu diberi kepada mereka supaya sentiasa berwaspada dan berani membuat keputusan yang bijaksana sekiranya berhadapan dengan sebarang masalah.


Kata orang lama, hendaklah berjaga daripada tidur, usah baring, elok duduk, daripada duduk elok lagi berdiri, daripada berdiri bagus berjalan, berjalan disini bermaksud hendaklah kita mengembara, kerana jauh dan luas pandangan, banyak maklumat akan diperolehi.

Saturday, January 30, 2010

Pengalaman Di Perantauan.




Salam hormat dan rahayu.



Pernah aku ke Amsterdam jalan-jalan cari pengalaman di tempat orang. Bak kata orang tua, jauh perjalanan, jauh pandangan, dan banyak pengalaman. Aku ke sana tidaklah seperti orang lain, untuk melancong dan membeli belah sakan sahaja. Aku mencari ilmu dan pengalaman melalui pemerhatian, penyelidikan, dan persahabatan.


Holland atau Belanda pernah menjajah dan menguasai Malaysia dan Indonesia atas tujuan perdagangan dan mengaut keuntungan dari bumi watan yang penuh dengan sumber asli. Justeru habis rakyat tempatan menderita kemiskinan dan ditindas, lalu mereka menentang, memberontak Belanda. Rakyat negara kita terus berjuang menentang Belanda kerana begitu kejam menindas rakyat.





Banyak artikel, harta khazanah antaranya, manuskrip-manuskrip sejarah lama kesultanan Melaka, kitab-kitab ilmu dan pengetahuan dibawa bersama pulang ke Belanda. Aku cuba mendapatkan salinan bahan tersebut, hasilnya gagal kerana banyak prosedur yang aku perlu lalui untuk mendapatkannya.





Kini Belanda atau Holland terutama Amsterdam telah menjadi tumpuan setiap orang kerana negaranya yang pesat maju dan menjadi pusat pelancongan negara tersebut.

Thursday, January 28, 2010

Ikhtiar Hidup

Greetings,Salam Hormat dan rahayu to the world.


Let's cherish life through my eyes, and indulge yourself in my words. May this little contribution helps enlighten the fading world.......